Thursday, December 16, 2010

Ingatan Akhir Zaman...


Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t dengan nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada kita dari saat kita bangun tidur sampailah saat kita hendak tidur balik. Jika kita hitung nikmat Allah s.w.t yang Dia kurniakan kepada kita pada hari ini, nescaya tidak terhitung banyaknya nikmat yang diberikanNya kepada kita. tidak terputus walaupun sesaat nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita. tapi bagaimana pula balasan kita terhadap Allah?? Adakah cukup dengan kita solat fardhu  5 waktu secara berjamaah?? Cukupkah dengan kita mengucapkan Alhamdulillah selepas kita mendapat nikmat daripadaNya??  Sahabat sahabiah sekalian, perlulah ada di dalam diri kita persoalan-persoalan sebegini supaya kita menjadi hamba yang benar-benar bersyukur serta tahu bagaimana cara terbaik untuk kita bersyukur kepada Allah s.w.t. Banyak ayat-ayat suci Al-Quran yang memberitahu kita tentang ganjaran-ganjaran yang diberikan oleh Allah kepada hambaNya yang bersyukur. antaranya ialah:


“Mengapa Allah akan menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman ? dan Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.”                                                    (surah An-Nisa’, ayat 147)





“Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya Allah melipat gandakan balasannya kepadamu dan mengampuni kamu. dan Allah Maha pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.”                                                                                      (surah At-Tahgaabun, ayat 17)



“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".                                      (surah Ibrahim, ayat 7)



Pada  hari Selasa baru-baru ini aku berpeluang mendengar kuliah maghrib di masjid kampung aku yang di sampaikan oleh seorang ustaz J-QAF. Beliau memberi kuliah berkenaan dengan hadith Rasulullah s.a.w yang menceritakan tentang peristiwa pada akhir zaman. hadith tersebut berbunyi :

Daripada Abu Said Al-Kudri ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :" Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, " "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?" Nabi SAW menjawab, " Siapa lagi kalau bukan mereka".                                                                                                                 (Riwayat Muslim)


Sahabat sahabiah sekalian, perlu kita sedar bahawa Yahudi dan Nasrani telah mempengaruhi umat Islam dari pelbagai aspek. mereka menentang umat Islam habis habisan. Mereka sesekali tidak redha dengan umat Islam selagi umat Islam tidak mengikut jejak mereka. Mereka akan redha dan menjulang sesuatu kaum atau individu itu setelah  kaum dan individu tersebut mengikut cara mereka seperti yang digambarkan oleh hadith diatas iaitu jika kaum Yahudi dan Nasrani masuk lubang biawak bergelumang dengan kotoran, kita turut masuk lubang biawak dan bergelumang dengan kotoran.
Trend peperangan Yahudi dan Nasrani terhadap umat Islam bukan lagi peperangan senjata. Mereka tidak merobohkan masjid atau tempat ibadat. Mereka juga tidaklah menghalang sesebuah Negara mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi. tetapi mereka menyerang umat Islam melalui cara hidup, pembinaan sahsiah serta akhlak umat Islam. mereka menyerang melalui sukan, hiburan, fesyen, pendidikan dan sebagainya.







Di sini inginlah aku memberi contoh serangan Yahudi dan Nasrani terhadap umat Islam melalui beberapa aspek yang aku nyatakan di atas. Yang pertama ialah melalui sukan. Jika kita lihat kesemua atlet yang bertanding dalam Sukan Asia di Guangzhou baru-baru ini, majoritinya lelaki dan perempuan baik Islam ataupun bukan Islam memakai pakaian yang tidak menutup aurat termasuklah atlet dari negara kita dan negara-negara islam yang lain seperti Qatar, U.A.E, Kuwait dan sebagainya. Kalau tidak silap, negara Iran sahaja yang menghantar atlet yang menutup aurat. Dan jika kita tidak berpakaian sedemikian, maka kita akan dilabelkan sebagai jumud, ketinggalan zaman serta sebagainya. Islam tidaklah menghalang umat manusia untuk bersukan. malah, menggalakkan lagi kita untuk bersukan atau beriadah. Rasulullah s.a.w sendiri juga suka akan bersukan. Ini dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


“Didiklah anak-anakmu berenang, memanah, dan berkuda.”
(Al Hadith)

Sabda Rasulullah s.a.w : “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).”
(Riwayat Muslim)


Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan bahawa:“Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.“Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga ke lutut. Justeru, selagi syarat dan peraturan penutupan aurat ini tidak dilanggar, maka, tidaklah menjadi suatu kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki melibatkan diri mereka di dalam aktiviti sukan.”








Dr. Ali Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daaghi, Ketua di Jabatan Usul al Fiqh, Fakulti Syariah, Universiti Qatar menambah:“Tidak dapat disangkal bahawa agama Islam tidak pernah menghalang kaum wanita melibatkan diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira. Syarat-syarat tersebut adalah:

1) Wanita dilarang memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik perhatian kaum lelaki.
2) Wanita dilarang mendedahkan aurat mereka.
3) Wanita dilarang bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan.”



Tidaklah dikatakan jumud dan ketinggalan jika kita menutup aurat dan mengasingkan lelaki dan wanita, malah memberi banyak kesan yang positif terhadap pembinaan akhlak serta sahsiah umat manusia.










Dari segi hiburan pula, banyak rancangan-rancangan  televisyen yang berunsurkan hiburan yang melampau-lampau dan melalaikan ditayangkan. Lihat saja rancangan realiti TV, bermacam-macam jenis ada. Mentor, Akademi Fantasia, Bintang Kecil, dan yang terbarunya Pilih Kasih. Bagaimana kita hendak melahirkan masyarakat yang berilmu,beriman dan bertaqwa jika setiap hari kita ditayangkan dengan lambakan rancangan-rancangan seperti ini yang akhirnya menjadi ikutan masyarakat tidak mengira tua atau muda. Terkini, kajian ( Nielsen 2010 ), Negara Malaysia menduduki tangga kesepuluh daripada 52 buah Negara yang dikaji, rakyatnya paling kuat berhibur. 
 

Itulah di antara contoh serangan-serangan Yahudi dan Nasrani terhadap umat Islam. Mereka berjaya mempengaruhi umat Islam melalui serangan-serangan sebegini yang menjauhkan umat Islam dengan Al-Quran dan As-Sunnah yang mana dalam satu hadith Rasulullah s.a.w, Rasulullah s.a.w berpesan dan bersabda yang bermaksud: 
 

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.”  (Riwayat Malik bin Anas dalam al-Muwattha' - no: 1619)



Sahabat sahabiah sekalian, kita baru sahaja memasuki tahun baru Hijrah. Marilah sama-sama  kita berhijrah. Tidaklah bermaksud kita berhijrah dari satu tempat ke satu tempat  seperti di zaman Rasulullah s.a.w yang berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah, tetapi hendaklah mengikut waqi’. Di negara kita yang aman, damai serta harmoni ini, hendaklah kita berhijrah yakni memperbaiki diri kita, sikap kita atau cara hidup kita daripada yang buruk kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik dan daripada yang lebih baik kepada yang terbaik. dan cara hidup yang terbaik dan diredhai Allah tidak lain tidak bukan adalah Islam. Firman Allah s.w.t :

Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam. tiada berselisih orang-orang yang Telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, Karena kedengkian (yang ada) di antara mereka. barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah Maka Sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.”       (surah Ali-Imran, ayat 19)

1 comments:

Biro Agama, Kerohanian dan Moral said...

semoga thn bru ni dpt mnjdikn kta brtmbh baik drpd thn2 lalu..amin

Post a Comment